Category

Perkongsian Kerjaya Pemandu Pelancong dalam Akhbar Berita Harian

  • 12 July, 2014

Kerjaya Pemandu Pelancong Seronok Ke?

Ada yang menyatakan Pemandu Pelancong satu kerjaya yang menyeronokkan kerana dapat berjalan-jalan ke seluruh negara tetapi ada juga yang menganggap ianya hanyalah kerjaya picisan. Ini kerana Pemandu Pelancong di Malaysia kebiasaanya di monopoli oleh golongan pencen yang menjadikan kerjaya ini sebagai sampingan mereka sahaja. Namun jika mengikut industri pelancongan antarabangsa, Pemandu Pelancong dilihat sebagai kerjaya professional kerana tugasan yang digalas memerlukan kepakaran.

Ikuti Kursus Pemandu Pelancong Untuk Dapatkan Lesen

Lantaran itu, Khairul Anwar Abdullah 24, tampil membuktikan kerjaya sebagai Pemandu Pelancong ini bukanlah kerjaya biasa-biasa, sebaliknya mampu menawarkan gaji lumayan. Khairul Anwar menjadi pemandu pelancong sejak berusia 17 tahun menyatakan kerjaya itu mengubah personalitinya. Menceritakan awal pembabitannya, Khairul Anwar menyatakan semunya berlaku apabila melihat iklan kursus Pemandu Pelancong dan kerana ingin tahu mengenai kerjaya ini, beliau terus memohon.

“Tidak pernah timbul minat untuk menjadi pemandu pelancong sebelum ini, malah bidang pelancongan ini bukan pilihan pun. Lepa menduduki peperiksaaan Sijil Pelajaran Malaysia (SPM), saya melihat iklan dan terus mencuba”

Aktif Di Kampus Walaupun Bekerja Sebagai Pemandu Pelancong

“Saya diterima dan perlu mengikuti kursus pemandu pelancong sebelum diminta mengambil lesen dan berdaftar dengan kementerian. Saya buat semua ini walaupun hati masih tiada minat, hanya sekadar ingin mencuba. Sehinggalah saya diberikan tugas pertama membawa pelancong dari Korea, di situlah bermulanya minat,” katanya. Sejak itu Khairul Anwar mula aktif seabagai pemandu pelancong, malah ketika dia melanjutkan pengajian di sebuah institusi pengajian tinggi (IPT) jika ada masa terluang dia akan menjadi pemandu pelancong. Baginya selain dapat mengasah bakat, dia juga dapat mengumpul duit dengan menjadi pemandu pelancong separuh masa. Ada ketika Khairul Anwar tidak meminta wang belanja daripada ibu bapanya.

“Pelajar IPT seharusnya mengambil peluang menjadi pemandu pelancong separuh masa seperti pernah saya lakukan. Selain dapat mengasah bakat komunikasi dan memperbaiki bahasa, dapatlah juga kita mencari duit poket. Tidak salah berdikari dari awal kerana kerjaya ini kebiasaannya mengambil masa selama tiga atau empat hari sahaja dalam sebulan. Cukup dengan mengambil tiga rombongan,” katanya.

Pemandu pelancong

Pemandu Pelancong Sebagai Duta Pelancongan Negara

Menyingkap kenangan pertama sebagai Pemandu Pelancong, menurut Khairul Anwar, sebagai pendatan baru dalam dunia pemandu pelancong, dia seharusnya menjadi pembantu bagi membiasakan diri dan belajar selok-belok ilmu pelancongan. Namun, berbeza baginya yang terus diberikan tugas pertama tanpa ditemani atau dibimbing sesiapa, hanya bersendirian melayani dan memberi perkhidmatan kepada pelancong.

“Gugup, cemas, risau dan gembira, semua ada bercampur-baur. Tugasa pertamakena bersendirian dan terpaksa membawa pelancong dari Korea yang kurang fasih berbahasa Inggeris. Bayangkan situasi saya ketika itu, tapi mengenangkan pemandu pelancong ini ibarat duta kecil pelancongan negara, saya tenangkan diri dan berusaha menghiburkan tetapi mengikut cara saya sendiri,” katanya. Memang menyeronokkan tetapi mencabar keupayaan seorang pemandu pelancong dari segi komunikasi dan berinteraksi dengan pelancong luar.

Pemandu Pelancong Cabaran Yang Meneronokkan

Lantaran itu, Khairul Anwar sentiasa menyiapkan diri dan mengkaji terlebih dahulu negara asal pelancong yang bakal dibawanya nanti. Maklumat begini penting sebagai salah satu bentuk komunikasi dan mewujudkan suasana yang mesra dan tidak keko. Khairul Anwar menyatakan sebagai pemandu pelancong, seharinya mempunyai beberapa karakter mengikut keadaan seperti melayani pelancong muda, orang tua, delegasi dan kenamaan.

“Tidak boleh dengan cara sama melayani semua pelancong. Kita kena kenal mereka dulu dan cara kita melayani sepanjang mereka berada di sini haruslah sesuai. Jika mereka orang muda, senang untuk jadi ‘ngam’ tetapi jika golongan berusia dan korporat, perlukan lebih perhatian dan teknik yang tertentu untuk berinteraksi dengan mereka.”

Tanggungjawab Pemandu Pelancong Berat

Nampak senang kerjaya ini tetapi sebenarnya banyak tanggungjawab berat yang perlu dipikul kerana pemandu pelancong perlu menyeddiakan semuanya dari mula hingga akhir. Bermula ketibaan tetamu sehinggalah mereka meninggalkan negara ini. semua ini berada di bawah tanggunjawab sebagai pemandu pelancong. 

“Kena siap sedia dengan sebarang kemungkinan seperti tempat lawatan ditutup, restoran tidak dapat menyediakan permintaan, jalan raya sesak dan perubahan cuaca. Kena peka dan harus cepat bertindak. Jika perjalanan yang sepatutnya mengambil masa selama 30 minit tetapi dek kerana kesesakkan jalanraya sehingga menyebabkan jadual perjalanan terganggu, pemandu pelancong haru cepat fikirkan cara untuk rancangan alternatif di samping menghiburkan tetamu. Selain bercerita mengenai perkara yang berada di sekeliling, selalu juga saya berinteraksi dan bermain pop kuiz dan menyediakan hadiah untuk mereka yang dapat menjawab soalan. Ini dapat menjadikan suasana lebih meriah dan tidak terasa perjalanan yang jauh.” katanya.

BACA JUGA ARTIKEL “SIBUK NAK JADI PEMANDU PELANCONG KENAPA?”

artikel oleh Alzahrin Alias, Berita Harian.
Tajuk : INSPIRASI GEN Y Pemandu Pelancong